MUALLIM: Pengumuman awal calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya sesuai untuk kawasan tertentu sahaja, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Menteri Besar Perak itu, bagi sesetengah kawasan, perlu diadakan perbincangan lanjut terlebih dahulu, sebelum sebarang keputusan dibuat.

Bagaimanapun, kata beliau, keputusan itu hanya cadangan kerana keputusan muktamad terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

Katanya, pengumuman Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru mengenai calon-calon bagi Parlimen Kampar dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu adalah cadangan mereka.

“Itu adalah keputusan yang dibuat oleh MCA berdasarkan semangat perbincangan di kalangan mereka khususnya di kawasan Kampar dan ia bukanlah pengumuman yang di luar jangkaan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Pejabat Tanah dan Daerah Muallim di sini, hari ini.

Ahad lepas, Liow mengumumkan Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong sebagai calon Parlimen Kampar manakala Timbalan Ketua Bahagian MCA Kampar, Chang Gwo Chyang sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar dan Setiausaha Bahagian Kampar, Daniel Wa Wai How, calon DUN Keranji pada PRU14.

Dr Zambry berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan kepimpinan MCA di peringkat pusat dan negeri.

“Kita sentiasa mengadakan perbincangan bersama, bagaimanapun dalam konteks Kampar, Presiden MCA merasakan perlu buat pengumuman awal  dan ia bergantung kepada keputusan akhir oleh Pengerusi BN,” ujarnya.