KUALA LUMPUR – Larangan membeli dan menjual rokok pada individu ditingkatkan kepada umur 21 tahun antara cadangan yang akan dibawa sebagai akta baharu khusus untuk mengurangi amalan merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, peraturan ketika ini sangat longgar, malah akta sedia ada hanya tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mengikut Akta Makanan 1983.

“Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha mengurangi amalan merokok dalam kalangan remaja dan belia.

“Akta baharu itu akan dibentangkan untuk mendapat sokongan ahli parlimen tahun depan,”katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN- Sabak Bernam), di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, cadangan yang sama juga akan melibatkan peniaga.

“Di belakang kaunter bayaran kedai makan selalunya penuh dengan rokok, itu juga salah satu cara pengiklanan. Jadi kita sedang kaji sama ada perkara-perkara ini boleh dimasukkan sebagai larangan dalam akta baharu nanti,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran untuk menangani amalan ini sentiasa ditingkatkan, malah pendidikan di media giat dijalankan.

“Kempen besar-besaran dibuat sejak 2004 (Tak Nak Merokok). Jumlah kos sehingga sekarang termasuk siaran iklan di media elektronik dan cetak (2004-2016), lebih kurang RM2juta setahun,” katanya.

Dari segi kadar kematian pula, Hilmi berkata, jumlah direkodkan akibat daripada penyakit tak berjangkit termasuk merokok adalah 20,000 setahun.

-SinarHarian