PUCHONG : Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng menyokong tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan tangkapan anjing liar di sekitar kawasan Puchong.

Mengulas insiden penangkapan anjing yang tular di media sosial dan dakwaan berlaku kekasaran Chee Heng berkata, beliau tidak nampak sebarang tindakan kasar terhadap haiwan itu.

Menurutnya, semua pihak perlu mengakui masalah anjing liar di kawasan Puchong malah ramai yang pernah dikejar haiwan itu.

“Saya sendiri pernah dikejar anjing liar ketika menunggang motosikal dan berjoging di taman rekreasi. Akibat pengalaman lalu, saya terpaksa membawa kayu bagi mengelak dikejar atau digigit anjing.

“Anjing liar memang membahayakan…saya sokong tindakan MPSJ menangani isu ini dan tidak menunggu ada tragedi berlaku baru nak ambil tindakan,” katanya

Chee Heng yang juga aktivis masyarakat dan terkenal dengan gelaran Uncle Kentang berkata, beliau percaya petugas MPSJ melakukan proses penangkapan haiwan tersebut mengikut prosedur ditetapkan.

Justeru, beliau berharap insiden tersebut tidak dipanjangkan atau dilihat sebagai negatif.

“Kita kena faham ketakutan kepada anjing liar itu bukan sahaja jika dikejar atau digigit malah ada individu yang takut melihat haiwan ini.

“Paling bahaya apabila kita menunggang motosikal dan dikejar anjing. Kenderaan boleh terbabas dan membawa maut,” katanya.

Chee Heng dalam pada itu menasihatkan individu atau pencinta haiwan supaya mengambil lesen dan mengurung haiwan itu di tempat selamat.

Katanya, ramai pencinta haiwan memberi makan kepada haiwan liar namun pada masa sama haiwan itu mendatangkan masalah kepada komuniti setempat.

“Saya faham niat mereka baik…tapi kesannya memudaratkan keselamatan penduduk setempat dan masalah buruk lebih banyak timbul.

“Sepatutnya mereka ambil lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kurung haiwan itu di tempat selamat. Kita perlu bantu PBT kawal kehadiran anjing liar kerana mungkin hari ini anjing tak gigit orang tapi bila ia nak jadi gila tak siapa tahu bila,” katanya.

Chee Heng dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menghalang penjawat awam menjalankan tugas namun pada masa sama meminta petugas agensi awam mengawal emosi dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat.

Katanya, pemilik anjing yang ditangkap tidak perlu bimbang kerana mereka boleh menuntut haiwan itu di pusat kurungan.

‘Bagi individu yang ada dalam rakaman video tak perlu panjangkan isu, kalau anjing dia kena tangkap boleh ke pejabat majlis tuntut balik.

“Janganlah biarkan haiwan itu berkeliaran kerana boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain. Kita tidak tahu emosi dan keadaan kesihatan anjing itu,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan proses penangkapan anjing tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 4 minit 13 saat itu, petugas MPSJ sedang menangkap seekor anjing dan cuba dihalang oleh beberapa individu.

Kerajaan Selangor melalui Exconya, Ng Sze Han kemudian memohon maaf terhadap insiden penangkapan anjing yang tular itu.

Sze Han berkata, perlakuan kasar petugas MPSJ ketika menjalankan penangkapan anjing itu amat dikesali.

Menurutnya, beliau memahami situasi terpaksa dihadapi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan petugas terhadap aduan anjing dan kucing terbiar yang semakin meningkat.

-Sinar