KUALA LUMPUR: Akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 sudah ada dan sedang dalam proses penyusunan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baharu itu dalam masa terdekat.

“Kita menarik balik undang-undang dulu (Akta Hasutan) dan untuk undang-undang baharu kita sudah ada dalam status menyusun semula ayat-ayat dalam undang-undang.

“(Dijangka selesai) secepat mungkin,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata polis masih boleh menggunakan Akta Hasutan bagi menjalankan siasatan kerana undang-undang itu belum dimansuhkan dan mengarahkan penggunaannya dibuat secara berhemah.

Menyentuh penarikan semula Rang Undang-Undang Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Dewan Rakyat, Dr Mahathir berkata keputusan itu dibuat berikutan banyak pendapat berbeza disuarakan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita dapati banyak pendapat yang berbeza dan undang-undang itu perlu dikaji untuk memasukkan idea-idea yang disampaikan kepada kita.

“Saya tak berani jamin (bila akan dibentang semula), tapi secepat mungkin,” katanya.

Pemansuhan Akta Hasutan 1948 adalah antara janji kerajaan Pakatan Harapan dalam reformasi undang-undang di negara ini.

 

-BeritaHarian