PETALING JAYA: Pemain muda Bawah 16 Tahun (B-16) negara  Amirul Ashrafiq Hanifah menerima ugutan bunuh daripada penyokong fanatik Indonesia.

Menerusi satu undian ‘bunuh’ yang dibuat di Insta Story pride_Indonesia, 92 peratus memihak kepada ‘Bunuh’, manakala 8 peratus ‘Tidak’.

Amirul yang berada di Surabaya bersama skuad B16 yang lain bakal mengharungi Kejohanan Piala AFF bermula hari ini sehingga 11 Ogos depan.

Ugutan bunuh itu timbul selepas pemain muda itu tersilap memuat naik gambar bendera Indonesia yang terbalik dan kelihatan seperti bendera Poland.

Bagaimanapun, Amirul  telah membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Indonesia di atas kesilapannya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan menerusi lama Twitter mengakui, ugutan seperti itu tidak boleh ditoleransi.

“Pemain dah meminta maaf. Pihak Indonesia juga dah terima permohonan maaf. “Saya syorkan pihak berkenaan membuat laporan ke atas page (laman) tersebut.

“Keselamatan pemain prioriti kami.  Saya dah menghubungi menteri mereka berkenaan isu ini.”

Insiden itu jelas tidak disenangi oleh media Indonesia berikutan isu bendera Indonesia terbalik pernah berlaku ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Malah isu ini turut mencetuskan kebimbangan apatah lagi dengan apa yang berlaku ketika pemain B-19 negara diserang oleh penyokong Indonesia yang membaling batu dan botol selepas aksi separuh akhir Kejohanan AFF juga di Surabaya pada 12 Julai lalu.

Pada perlawanan itu skuad kendalian Bojan Hodak menang menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar sebelum merangkul kejuaraan dengan menewaskan Myanmar 4-3 di pentas final.Susulan insiden itu, skuad B-16 kendalian Raja Azlan Shah Raja Sho’ib dinasihatkan supaya tidak aktif di media sosial.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B bertemu Thailand pada Isnin, diikuti Brunei (3 Ogos), Singapura (5 Ogos) dan Laos (7 Ogos) dengan kesemua aksi di Stadium Joko Samudro, Surabaya, Indonesia – mstar