IPOH: Perlunya adanya tindakan mengekang idelogi LGBT merupakan antara tujuh usul yang diluluskan pada persidangan Dewan Belia yang bersidang selama tiga hari sejak Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, berkata usul Usaha Mengekang Ideologi LGBT Dalam Kalangan Belia Negeri Perak itu membuktikan kalangan generai muda sedar akan bahayanya penularan idelogi sonsang tersebut.

Menurutnya usul yang dikemukakan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Intergrasi Nasional membuktikan para perwakilan belia di Negeri Perak ini serius dalam mempertahan dan memartabatkan nilai-nilai moral yang luhur, yang sedia wujud dalam masyarakat di negara ini.

“Pada pandangan saya , isu LGBT ini menjadi hangat setelah golongan minoriti semakin lantang bersuara dan mula mengimpikan untuk mendapat pengiktirafan terhadap hak-hak yang dituntut oleh mereka seperti mana yang berlaku di negara lain.

“Saya setuju dengan saranan daripada Muhammad Firdaus Abu Mansor (DB58) semalam yang mengatakan kunci utama kepada langkah-langkah pencegahan ideologi LGBT ini adalah melalui pengukuhan institusi kekeluargaan (Tarbiyatul Aulad),” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di sesi penggulungan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Yang Kedua, Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Ahad.

Hadir sama speaker Dewan Belia Perak, Salbiah Mohamed, Timbalan Speaker, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Ziad Mohamed Zainal Abidin, Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhamad Iqbal Dinzly Muhamad Saifuddin serta ADUN Bukit Chandan Maslin Sham Razman

Shahrul turut menggulung empat usul lain iaitu Mewujudkan Pusat Pembangunan Usahawan Amanjaya Bagi Memperkasa Ekonomi Belia Negeri Perak, Memperkasakan Golongan Orang Kurang Upaya Bagi Meningkatkan Kemandirian Menjelang 2050, Mendepani Revolusi Perindustrian Ke-4: dan Ekosistem Tanpa Tunai Di Sekolah Negeri Perak.

Manakala Maslin Sham menggulungkan tiga usul yang dibahaskan bertajuk Perak Peneraju Pengurusan Efektif Guna Tenaga Elektrik Ke Arah Tahun 2025, Penggunaan Secara Menyeluruh Bangunan-Bangunan Milik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Dalam Melestarikan Kemudahan Yang Sedia Ada Untuk Kemajuan Belia Negara dan Jenayah Seksual Dan Perlindungan Kanak-Kanak: Memperkasakan dan Mendaya Upayakan Gerakan Masyarakat Di Negeri Perak.

Beliau mengakui berasa teruja dan bangga dengan para perwakilan belia yang mempunyai begitu banyak idea segar yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh generasi sebelum ini.

“Platform ini juga mempamerkan tahap pemikiran generasi muda Perak yang menyumbang kepada proses bawah ke atas untuk masa hadapan.

“Ini menunjukkan kita benar-benar seiring, selandasan hasrat negara melaui perjalanan Transformasi Nasional 2050.

Mengulas mengenai tajuk Jenayah Seksual Dan Perlindungan Kanak-Kanak: Memperkasakan dan Mendaya Upayakan Gerakan Masyarakat Di Negeri Perak yang diusulkan oleh Jawatankuasa Pencegahan Jenayah, Masyarakat Sivil dan Patriotisme, Maslin Sham berkata pada masa kini bukan wanita sahaja yang terdedah kepada gangguan seksual malahan ia juga berlaku kepada lelaki dan kanak-kanak.

Beliau berpendapat usul tersebut merupakan cadangan yang sangat baik kerana kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan pemangsa domestik, bukan melibatkan orang luar yang tidak dikenali.

“Ia perlu diperkasakan agar kanak-kanak khususnya diberi perlindungan yang sewajarnya,” tambah beliau.

Kesemua tujuh usul itu telah dibentangkan oleh setiap perwakilan yang mewakili tujuh jawatankuasa khas.

Antara empat jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Ekonomi, Usahawan Pelancongan dan Pengantarabangsaan; Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita; Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian dan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional.

Tiga lagi jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia; Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar dan Jawatankuasa Pencegahan Jenayah, Masyarakat Sivil dan Patriotisme.