IPOH: Usahawan Malaysia, khususnya Perak perlu meninjau peluang baru yang boleh diterokai di negara-negara Afrika, seperti Uganda.

Peluang-peluang itu dijangka lebih luas selepas diterokai oleh pelabur-pelabur dari negara China dan Jepun.

Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin berkata, ketika ini pelabur dari kedua-dua negara itu telah melabur lebih 100 bilion di negara-negara Afrika.

 

“Kalaulah China dan juga Jepun telah melabur di sana sudah tentulah dia ada peluang-peluang yang lebih baik daripada kita di Malaysia sekarang ni.

“Jadi untuk itu peluang-peluangnya apabila kita adakan hubungan yang dibuat dianjurkan oleh Dewan Perniagaan hari ni, maka dia akan membuka peluang kepada usahawan-usahawan Perak untuk melihat apakah peluang yang ada di sana,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Perak – Uganda Trade Gateway 2019 di Ipoh pada Rabu.

Turut hadir Menteri Pembangunan Bandar, Tanah dan Perumahan Uganda, Issac Musumba, Pesuruhjaya Tinggi Uganda ke Malaysia, Dorothy Samali Hyuha dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah.

Sementara itu, Issac Musumba memberi jaminan bahawa pelabur-pelabur asing selamat untuk melabur di Uganda kerana dasar kerajaan sekarang adalah untuk membina semula keyakinan terhadap negara tersebut.

Katanya, pada 1971 kerajaan ketika itu telah mengusir orang asing sehingga menyebabkan para pelabur mengalami kerugian.Bagaimanapun, ujarnya, sejak 1985, kerajaan baru telah mengubah dasar untuk menggalakkan pelaburan luar datang ke negara tersebut.“Untuk meningkatkan semula keyakinan pelabur, kerajaan telah memulangkan semula segala harta milik pelabur terdahulu yang ditinggalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhiyuddin berkata, pihaknya mengenalpasti beberapa sektor yang boleh diterokai bersama usahawan Perak dan Uganda, antaranya pendidikan, pertanian dan pelancongan.