KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah bersetuju memberi diskaun enam peratus yuran pengajian pelajar untuk tempoh daripada bulan Mac hingga Disember 2020.

Naib Canselornya, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, keputusan itu yang dipersetujui dalam mesyuarat pengurusan USAS hari ini untuk mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung pelajar.

Menurutnya, dengan pengurangan itu, universiti akan mengalami penyusutan pendapatan sebanyak RM1.9 juta daripada jangkaan awal.

“Selain daripada pengurangan yuran pengajian, pengurusan universiti juga memutuskan supaya tiada sebarang yuran dikenakan terhadap penggunaan Dewan Penginapan Mahasiswa (DPM) sama ada pelajar tinggal di DPM atau telah pulang ke rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan itu pula membawa maksud, pihak universiti akan mengalami kekurangan pendapatan sebanyak RM1.6juta, sekaligus menjadikan jumlah kehilangan pendapatan USAS sebanyak RM3.5 juta daripada perancangan Belanjawan 2020.

“Universiti tidak dapat memberi diskaun yang lebih besar daripada enam peratus kerana kos sebenar bagi membiayai seorang pelajar adalah melebihi jumlah yang dibayar oleh para pelajar.  

“Ini bermaksud, universiti menampung sebahagian kos pembiayaan pelajar dengan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri Perak sebanyak RM8 juta setahun,” ujarnya.

Dr Nordin berkata, keputusan itu juga dilaksanakan atas rasa ambil berat dan simpati universiti, setelah mengambil kira kos yang terpaksa dikeluarkan oleh pelajar untuk mendapatkan kemudahan internet bagi mengikuti program-program yang dijalankan secara atas talian oleh USAS.

Katanya, USAS turut memutuskan untuk memberi kemudahan pakej internet percuma kepada para pensyarah memandangkan mereka telah berbelanja lebih sepanjang PKP bagi mengendalikan program-program dan kelas-kelas atas talian.

“USAS merayu kepada Kerajaan Malaysia supaya meningkatkan kemudahan akses internet di kawasan luar bandar terutamanya pendalaman kerana ini akan menjadi norma baharu kaedah pembelajaran pada masa hadapan,” katanya.

Dalam masa sama, USAS juga sedang mempertimbangkan perbelanjaan sebanyak RM13 juta dalam usaha meningkatkan keupayaan penggunaan atas talian.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada pihak Kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai tertentu yang dikenakan kepada universiti dalam meningkatkan keupayaan penggunaan atas talian.