IPOH: Pendakwah bebas terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias dibenarkan pulang ke rumah petang semalam, selepas dimasukkan di sebuah hospital swasta di sini, pada Selasa.

Menurut abang beliau, Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz, adiknya dibenarkan keluar untuk berehat di rumah setelah pihak hospital berpuas hati tahap kesihatan yang semakin memuaskan.

Bagaimanapun, katanya, mereka agak hairan kerana punca penyakit masih belum ditemui walaupun beberapa kali melakukan proses ultrasound dan MRI.

“Apapun kami tidak boleh membuat berbagai andaian waktu ini termasuk unsur mistik, adalah lebih baik memberi ruang beliau berehat di samping tunggu dan lihat perkembangannya dalam waktu terdekat ini,” katanya dalam laman Facebooknya petang semalam.

Mohd Najmuddin berkata, berdasarkan gambar yang disertakannya,keadaan Ustaz Kazim agak lemah dan berat badannya telah berkekurangan.

“Apapun kami bergembira dan bersyukur beliau akan dibenarkan pulang ke rumah, justeru itu saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada anda semua yg tak putus putus berdoa.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital yang merawat adiknya dengan baik dan semua pihak, yang terlibat secara sama ada secara langsung atau tidak.

Beliau mengulangi tujuannya menyampaikan perkembangan Ustaz Kazim bukanlah untuk mencari simpati dan mengejar publisiti.

Sebaliknya, kata Mohd Najmuddin ia adalah atas desakan orang ramai, terutama peminat-peminat pendakwah bebas itu yang ingin mengetahui perkembangannya.

“Andalah penyokong dan pemberi semangat kepada beliau, terima kasih,” ujarnya.