IPOH: Pendakwah bebas terkenal Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias (DUKE) dirujuk ke sebuah hospital swasta di sini malam tadi, ekoran beberapa komplikasi selepas menghadapi masalah tidak boleh tidur sejak dua bulan lalu hingga kini.

Perkara itu disahkan salah seorang pembantunya yang hanya mahu dikenali sebagai Amin

Menurutnya, kesan daripada itu, dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, DUKE mengalami sakit belikat dan pinggang serta kembung perut.

“Kami telah merujuk beliau ke Poliklinik pada minggu lepas dan doktor memberi diagnos awal sebagai gastrik atas faktor puasa dan penggunaan ubat jantung.

“Sehingga semalam (Ahad ), sakit masih tidak berkurangan dan bertambah dan kami telah merujuk beliau ke Unit Kecemasan sebuah hospital swasta di Ipoh,” katanya di sini, hari ini.

DUKE dalam laman Facebook beliau malam tadi menunjukkan gambar beliau dirawat di sebuah hospital.

“Terima kasih kepada semua sahabat yang bagi nasihat dan petua..insya Allah saya cuba amalkan.

“Harap-harap boleh tidurla…kalau x baring salah, duduk salah, ngiring salah.. semua salah…insya Allah, malam ni harap-harap betul la..,” katanya.

Menurut Amin, prosedur ujian telah dilaksanakan dan keputusannya dijangka akan dikeluarkan pada esok (Selasa).

Katanya, buat masa ini, pendakwah itu berada di rumah untuk berehat dan sebarang lawatan atau ziarah tidak dibenarkan memandangkan situasi negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya mohon tuan puan yang budiman untuk sama-sama mendoakan kesembuhan DUKE seperti sedia kala,” ujarnya.

Menurutnya, program LIVE di fanpage Facebook DUKE akan diteruskan seperti jadual asal.