IPOH – Pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias dimasukkan sekali lagi ke sebuah hospital swasta di sini petang semalam.

Menurut sumber, Mohd Kazim dikejarkan ke hospital berkenaan selepas mengadu penat selepas pulang menghadiri sebuah program televisyen di Bukit Jalil.

Menurutnya, Pengasas Pusat Pendidikan Al Barakah itu kini masih dirawat dan ditahan di wad hospital berkenaan.

“Selepas tiba di rumah dari Bukit Jalil, Datuk (Mohd Kazim) mengadu tak larat dan terus dibawa ke hospital.

“Setakat ini, saya belum terima sebarang perkembangan lanjut mengenai keadaan Datuk selepas dimasukkan ke hospital semalam,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, berita mengenai keadaan terkini Mohd Kazim dimuat naik menerusi satu hantaran di dalam Facebook Dato’ Mohd Kazim Elias hari ini.

“Semoga Dato’ Ustaz Mohd Kazim diberikan kesembuhan. Beliau sekali lagi dimasukkan ke hospital petang semalam sebaik sahaja sampai dari Bukit Jalil selepas mengadu dirinya tidak stabil sejak Isnin lepas,” jelas hantaran Facebook tersebut.