IPOH – Isu keselamatan serta pembaziran makanan adalah antara usul menarik yang bakal dibahaskan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia Yang Kedua Negeri Perak yang berlangsung mulai 8 hingga 9 Disember ini.

Exco belia negeri, Howard Lee Chuan How berkata, selain kedua-dua isu berkenaan banyak lagi isu yang akan dibentangkan oleh para perwakilan sempena persidangan kali ini.

“Sebanyak 16 usul akan dibentangkan sempena Persidangan Dewan Belia kali ini.

“Oleh itu, iharapkan pembentangan kesemua 16 usul berkenaan akan dapat dibahaskan dengan bebas,” katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing, Speaker Dewan Belia, Teoh Yer Chern, Nabilatul Husna Shamsul Munir (Timbalan Speaker 1), Kamal Azureen Adika Kamal Ariffin )Timbalan Speaker 2) dan P.Jivithra (Setiausaha).

Sementara itu menurut Yer Chern, seramai 60 perwakilan hadir bagi mengikuti Persidangan Dewan Belia kali ini.

Katanya, jumlah berkenaan mencatatkan kehadiran 73.3% dan ia dilihat baik sebagaimana kehadiran yang dicatatkan sebelum ini.

“Sebenarnya tak semua yang hadir kali ini. Namun, kita difahamkan ada dalam kalangan mereka yang menduduki ujian dan sebagainya.

“Bagaimanapun, jumlah kehadiran ini adalah jumlah kehadiran yang baik,” katanya – sinar