KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu tidak membincangkan usul menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan dibawa parti itu kepada rakan sekutunya, UMNO.

Bagaimanapun, idea membincangkan usul itu pernah dibangkitkan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Ini idea dan pandangan daripada Pas, tidak pernah beritahu UMNO tapi idea itu pernah kita bincang. Setiausaha Agung pernah keluarkan kenyataan bulan lepas dan bagi idea kalau sekiranya kerajaan sedia ada betul nak tukar PM kena bawa usul.

“Kalau tidak bawa usul untuk menolak PM yang ada, jadi isu ini akan terus dimainkan,” katanya katanya dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Kebajikan Nasional 2020, di Dewan Seri Kasih Bandar Tun Hussein Onn, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang berkata, Pas ada hak untuk membawa ‘usul undi percaya’ kepada Dr Mahathir di Dewan Rakyat tetapi berkata UMNO tidak perlu masuk campur dalam masalah Pakatan Harapan (PH).

Malah kata Ahli Parlimen Ketereh itu, UMNO tak perlu ‘busybody’ dengan masalah PH.

Pas dan UMNO akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8 malam esok.

Ia bagi membincangkan hala tuju kerjasama antara kedua-dua parti dan juga usul menyokong Dr Mahathir yang akan dibawa Pas.

Ditanya samada UMNO akan menerima usul yang akan dibawa Pas, Tuan Ibrahim berkata, ia akan berdasarkan kepada perbincangan malam esok.

“Usul ini peribadi, dan boleh bawa oleh sesiapa, kita lontar idea tersebut dan kita rasa ada keperluan.

“Kita akan tengok dan kita akan bincang,” katanya.

Semalam, Tuan Ibrahim berkata, Pas akan membawa ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat bagi menyokong Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Keputusan itu diambil setelah terdapat beberapa pihak yang “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan perdana menteri, namun sehingga kini, tiada usul undi tidak percaya yang dibuat oleh mana-mana pihak.

Dr Mahathir dalam wawancara bersama The Malaya Post yang disiarkan semalam mengulangi komitmennya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dipersetujui PH sebelum pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, jelas Pengerusi PH itu, ia terpulang kepada suara majoriti dalam Dewan Rakyat kerana ahli-ahlinya yang “sebenarnya berkuasa”. – MalaysiaGazette