JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, sekiranya terdapat cubaan menukar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata usul undi tidak percaya itu akan dilakukan sekiranya Perikatan Nasional (PN) Johor mengganggu-gugat kedudukan Suhaizan Kaiat sebagai Speaker DUN Johor dalam sidang DUN Johor dijadualkan Khamis ini dan Ahad depan.

“PH Johor tiada niat mahu mencetuskan keadaan huru-hara dalam sidang DUN yang akan dilangsungkan pada lusa serta Ahad ini berikutan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan supaya ahli politik negeri tidak bertelagah.

“Kita juga tidak akan mengemukakan undi tidak percaya pada Hasni walaupun khabar angin menyatakan PH Johor akan berbuat demikian sejak sidang DUN, Mei lalu lagi.

“Namun, jika PN Johor mengganggu-gugat dan membuat tindakan mahu menyingkirkan Speaker DUN Johor sedia ada, PH Johor akan bertindak balas mengemukakan undi tidak percaya pada Hasni,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor di sini, hari ini.

Sidang DUN Johor selama dua hari itu, dijangka hangat berikutan pelbagai spekulasi politik semasa termasuk kedudukan kerusi tipis antara PN yang menguasai 29 kerusi manakala pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN, iaitu 14 dimiliki UMNO, diikuti 12 kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU); MIC (2) dan PAS (1), manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP; AMANAH (9) dan PKR (4).

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi AMANAH Johor dilantik menjadi Speaker pada Jun 2018 sebaik PH Johor memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ditanya mengenai ura-ura Datuk Osman Sapian menyertai blok pembangkang, Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor berkata, belum ada keputusan muktamad mengenai perkara itu.

“Memang benar, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas ada bertemu saya dan pimpinan AMAMAH Pusat, namun beliau masih tidak membuat sebarang keputusan.

“Kita serahkan pada Osman menentukannya. PH Johor pun tiada usaha beria-ia mahu memancing ADUN PN kerana kami berpendapat, biarlah ia diputuskan sendiri pihak berminat demi kepentingan rakyat.

“PH Johor tidak mahu terlalu berpolitik dalam keadaan kebajikan rakyat yang perlu diutamakan semua pihak,” katanya.

Sumber BH Online