KUALA LUMPUR, 22 DIS : Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung status terkini portfolio vaksin COVID-19 hari ini dapat menyelesaikan isu penularan maklumat tidak tepat yang disebarkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata melalui perjanjian yang dimuktamadkan dengan pembekal vaksin itu, Malaysia bakal memperoleh vaksin untuk diberikan kepada hampir 83 peratus penduduk dengan harga RM2.05 bilion.

“Perdana Menteri baharu sahaja mengumumkan portfolio vaksin COVID-19 yang dikemas kini dan setelah menandatangani perjanjian dengan COVAX, Pfizer dan BioNTech serta AstraZeneca yang dimuktamadkan menerusi perjanjian dengan Sinovac, CanSino dan juga Gamaleya, kami akan mendapat vaksin untuk hampir 83 peratus penduduk dengan harga RM 2.05 bilion.

“Dengan pengumuman ini, saya harap ia dapat menyelesaikan maklumat salah yang disebarkan Kit Siang yang mendakwa kerajaan membelanjakan RM3 bilion hanya untuk perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech sahaja merangkumi 20 peratus daripada populasi rakyat Malaysia,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya pada Selasa.

Dalam pada itu, Khairy berkata pihaknya turut menawarkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang bersifat bipartisan agar segera memberi penerangan tentang perincian perolehan untuk kepentingan bersama.

Tambahnya, vaksin itu akan dihantar sepanjang tahun depan dengan penghantaran pertama dijadualkan bermula Februari 2021.

“Ia berdasarkan persetujuan dan pendaftaran Badan Pengawas Badan Pengawas Farmaseutikal Nasional (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Untuk perincian lanjut, saya akan jelas dalam sidang media esok,” katanya.

Semalam, Khairy menyangkal kenyataan Kit Siang berhubung perbandingan kos vaksin Pfizer yang perlu dibayar negara.

Malah kenyataan itu turut mendapat reaksi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara sinis menyifatkan kos vaksin COVID-19 Penasihat DAP itu adalah yang paling rendah di seluruh dunia.

Sementara itu, Muhyiddin pada Selasa mengumumkan akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin virus berkenaan.

Ini kerana, jelas beliau, ia sebagai langkah untuk menyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh adalah selamat dan berkesan. – AWANI