IPOH – Masalah kewangan yang dihadapi kontraktor utama menjadi punca kelewatan projek menaik taraf venue badminton bagi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, masalah kewangan itu berpunca daripada pelbagai faktor yang sukar untuk dijelaskan.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan projek menaik taraf Arena Badminton Darul Ridzuan yang sepatutnya siap pada Januari lalu,  dilanjutkan hingga Mac.

“Sebab utama kelewatan ini berlaku adalah pihak kontraktor utama mempunyai  masalah kewangan

akibat daripada banyak faktor yang susah untuk kita ulas.

“Kelewatan menyerahkan projek ini juga menjadikan pihak kontraktor utama berdepan denda RM1,650 sehari yang jumlahnya kini telah mencecah RM85,000,” katanya selepas meninjau perkembangan projek itu, semalam.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bertindak sebagai pengurus projek bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengesyorkan cadangan agar bayaran secara terus dibuat kepada subkontraktor lantikan kontraktor utama.

Katanya, langkah itu antara alternatif terbaik berbanding melantik kontraktor penyelamat yang akan memakan tempoh dan kos lebih tinggi.

“Kita akan jalankan siasatan lebih terperinci mengenai status projek ini termasuk berjumpa dengan pihak pengurusan kontraktor utama.

“Walaupun keadaan projek ini seperti lambat untuk siap, saya rasa dengan tempoh masa diberikan dan semua  diperlukan MBI, JKR dan kontraktor, saya yakin ia boleh siap pada pertengahan Ogos ini, setakat jnj persiapan fizikalnya mencapai 86 peratus,” katanya.

Projek menelan kos RM8.9 juta itu dimulakan sejak Februari tahun lalu – sinar