TAMBUN – Persatuan Veteran VAT 69 Komando memberi peluang kepada orang ramai merasai kehidupan dan latihan ala komando menerusi sebuah pusat perkhemahan yang bakal dibuka di Kampung Danglang, Lenggong, Jun ini.

Yang Dipertua Persatuan, Datuk Abd Rashid Harun berkata, pusat berkeluasan 3.2 hektar itu telahpun 70 peratus siap dan dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, dewan makan, dapur serta rumah penginapan untuk wanita.

Menurutnya, semua program yang dijalankan di situ akan dikendalikan sepenuhnya oleh bekas-bekas komando yang juga ahli persatuan.

“Untuk sementara waktu ini, kita namakan pusat itu Dusun Veteran VAT 69, walaupun persekitaran kawasannya kebun, kita tak buat tempat ini untuk bersenang-senang sebaliknya semua berkonsepkan komando.

“Selain berkhemah, orang ramai juga akan diperlihatkan dengan survival seorang komando dalam hutan dan mempelajari latihan asas seperti membuat jerat.

“Jadi mana-mana NGO (persatuan bukan kerajaan), pihak sekolah dan badan beruiform jika berminat boleh berkunjung apabila beroperasi nanti,” katanya.

Abd Rashid Harun

Beliau ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-12 Persatuan Veteran VAT 69 Komando di Kem Briged Utara

Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, semalam, yang dirasmikan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Abd Rashid berkata, langkah membuka Dusun Veteran VAT 69 itu merupakan satu daripada inisiatif persatuan berkongsi kemahiran dan menyemai semangat patriotisme kalangan generasi muda.

Katanya, untuk akan datang, pihaknya bercadang membuka trek komando iaitu seakan laluan yang sering ditempuhi pasukan itu ketika operasi dalam hutan.

“Walaupun kita sudah tidak berjuang dan tidak lagi mengangkat senjata, pengalaman yang ada dalam diri bekas-bekas komando ini amat bernilai dan wajarlah ia dikongsi,” katanya – sinar harian