PETALING JAYA: Selepas meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Johor, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim hari ini menggesa kerajaan membuktikan ia komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang berhubung isu video seks gay yang mensasarkan timbalan presiden partinya, Mohamed Azmin Ali.

Hassan mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Haziq Aziz, bekas pemimpin PKR yang membuat pengakuan mengejut pada Jun lalu bahawa beliau adalah salah seorang daripada 2 lelaki dalam video tersebut.

“Saya menuntut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh rakyat berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hassan berkata prinsip yang sama juga harus diikuti Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, mengatakan mereka mesti bertindak “tanpa rasa takut atau pilih kasih”.

Beliau berkata pihak berkuasa sudah mempunyai saksi material yang membuat pengakuan secara sukarela bahawa beliau salah seorang pelaku dalam kes hubungan seks itu yang mengikut Kanun Keseksaan Malaysia adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan sebat.

“Masa lebih dari cukup untuk polis menyelesaikan kertas siasatannya dan menyerahkan kepada pihak pendakwa.

“Tidak perlu seseorang untuk menjadi peguam atau pakar undang-undang terlebih dahulu untuk memahami bola sekarang berada di gelanggang ketua polis negara dan juga peguam negara merangkap pendakwa raya,” kata Hassan sambil menambah video seks itu merosakkan reputasi negara di peringkat antarabangsa dan memalukan lebih 32 juta rakyat Malaysia.

 

-FMT