JOHOR BAHRU, 7 Sept – Pembantu penguatkuasa yang dijulang sebagai ‘hero’ atas keberaniannya memberkas peragut baru-baru ini menerima penghargaan daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Makmur Johor dalam satu laporan memaklumkan, Shazrin Hafeez Fadzlan, 26, menerima sijil penghargaan, wang tunai RM1,000 dan tawaran jawatan Pembantu Kesihatan Awam (berstatus tetap) U19 di MBJB.

“Sijil penghargaan kepada Shazrin Hafeez disampaikan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad sempena lawatan beliau ke pejabat baharu MBJB, di sini hari ini (semalam),” maklum kenyataan tersebut, semalam.

Turut hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Haji Ayub Jamil dan Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Haji Adib Azhari Daud.

Mengimbas kembali, tular satu rakaman video yang memaparkan seorang individu meragut beg tangan seorang mangsa wanita sekitar pukul 12.45 tengah hari dalam satu kejadian di Taman Mount Austin, 1 September lalu.

Bagaimanapun, usaha individu terbabit menemui kegagalan apabila Shazrin bertindak pantas memberkasnya secara serangan ‘flying kick‘ sebelum turut serta dibantu oleh beberapa orang awam.