BAGAN DATUK: Amerika Syarikat telah mengenakan beberapa garis panduan sebagai pra syarat untuk tawaran pengecualian visa bagi warga Malaysia mengunjungi negara tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia telahpun memenuhi enam daripada tujuh garis panduan dan syarat itu.

Katanya, ini kerana kurang daripada tiga peratus permohonan visa itu ditolak ketika dikemukakan di Kedutaan Besar Amerika Syarikat untuk diperbaharui.

“Penolakan lebih daripada tiga peratus sekarang ini adalah disebabkan oleh banyak masalah teknikal dari segi butiran dan latarbelakang.

“Tetapi setakat ini mereka yang terlibat di dalam jenayah ataupun kegiatan keganasan, jumlahnya tidak dianggap sebagai signifikan atau tidak ada satu peratusan yang boleh dianggap sebagai signifikan, kebanyakkannya adalah disebabkan masalah teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Hadiah Kecemerlangan UPSR Murid Sekolah Rendah Parlimen Bagan Datuk di SM Sains Bagan Datuk pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas kebimbangan utama Malaysia berhubung isu sama ada Amerika Syarikat akan terus melaksanakan pengecualian visa kepada warga Malaysia selepas Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden negara itu semalam.

Menurut Ahmad Zahid, apa yang kerajaan Malaysia lakukan ialah bekerjasama dengan kedutaan Besar Amerika Syarikat  berhubung perkara itu.

“Pada dasarnya kita tahu bahawa State Department telah menentukan  mengikut tahun fiskal daripada September ke September untuk menentukan kedudukan Malaysia sebagai negara yang diberikan penarafan tertentu, kita terus berada dalam `tier two’  untuk tiga tahun ini walaupun sebelum itu kita berada di `tier three’…kita berazam untuk keluar daripada `tier two’.

“Kita akan meningkat ke tahap yang lebih tinggi yang mana kita akan berada di `tier  one’ dalam tempoh yang kita sasarkan bagi melayakkan kita mendapatkan kemudahan dan beberapa faedah lain yang tidak akan menyebabkan sekatan dilakukan terhadap warga negara Malaysia,’’ ujarnya.