IPOH – Pihak Hospital dan pengendali taska di Perak diminta bersiap sedia dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negeri itu sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata, amaran itu dikeluarkan susulan Perak kini berada di tangga kelima yang mencatatkan kes HFMD tertinggi di negara ini dengan jumlah  2,717 kes setakat 24 Julai.

“Kita telah memaklumkan pihak pengendali tadika supaya sentiasa berjaga-jaga kalau ada sesiapa menghidap penyakit ini terus beritahu Jabatan Kesihatan Negeri yang berdekatan.

“Pihak hospital pula, kita mempunyai tenaga doktor dan perawat yang cukup di seluruh 14 hospital seluruh Perak, kesemua mereka juga telah diminta berjaga-jaga, ia ketika ini terkawal,” katanya demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke sebuah pusat kursus kulinari di Ipoh pada Isnin.

Menurut beliau, walaupun jumlah berkenaan masih lagi belum berada di tahap membimbangkang namun kerajaan negeri tidak akan memandang remeh wabak terbabit.

Katanya, daripada 2,717 kes yang dicatatkan itu, sebahagian besarnya terdiri daripada golongan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah.

“Orang awam jangan takut, ia terkawal cuma saya minta semua perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa amalkan kebersihan di mana sahaja kita berada, basuh tangan dan sebagainya sekerap mungkin,” ujar beliau.