PUTRAJAYA : Kerajaan wajar mencontohi langkah Itali menggantung pembayaran balik semua pinjaman perumahan untuk membantu rakyat menghadapi kesan dari wabak COVID-19.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata penggantungan itu juga bukan kali pertama diambil kerajaan Itali tetapi pernah berlaku ketika krisis kewangan melanda negara Eropah itu.

“Kesan kewangan wabak ini akan membabitkan lebih ramai rakyat Malaysia. Ramai yang kehilangan pendapatan kerana diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji.

“Mereka yang terbabit dalam perniagaan dan pembekal perkhidmatan melihat pendapatan mereka terjejas akibat daripada pengurangan permintaan atau arahan kawalan pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Iskandar berkata, pihak yang paling terkesan ekoran situasi semasa adalah mereka yang terbabit dalam perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga di pasar atau warung.

Ada cadangan agar pihak terbabit berbincang dengan pihak bank untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman mereka.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin bukan semua yang terkesan itu berupaya mengadakan perbincangan dengan pihak bank.

“Inisiatif ini perlu datang daripada kerajaan. Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi kewangan.

“Tanpa inisiatif daripada kerajaan, tidak hairan jika ramai yang akan melihat kediaman mereka dilelong oleh pihak bank,” katanya.