TANJUNG MALIM: Seorang wakil kepada calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini membuat laporan polis berkaitan sebuah pameran kerjaya yang berlangsung di kawasan itu semalam.

Amirul Fairuzzen Jamaluddin yang merupakan pengurus kempen kepada calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, mengenai Karnival Kerjaya dan Kemahiran JobsMalaysia yang berlangsung di Slim River, dekat sini.

Dalam laporan itu, dia mendakwa pameran kerjaya yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan, melanggar peraturan kempen pilihan raya di bawah Seksyen 10 (B) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berkenaan.

— BERNAMA