IPOH: Usaha Dialog Pangkor 2017 yang turut membincangkan matlamat pembangunan lestari (SDG) mendapat pujian daripada wakil Program Pem­bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Penyelaras Residen UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner berkata, usaha itu sangat penting dan tepat bagi menghadapi cabaran yang wujud daripada pembangunan.

Menurut beliau, antara prinsip utama SDG ialah memastikan tiada yang tertinggal, sama dengan prinsip yang diperkenalkan kerajaan negeri Perak sejak lebih lapan tahun lalu, `Tiada Terpinggir, Tiada Tertinggal’.

“Bagaimanapun, dengan kewujudan cabaran-cabaran baru, memerlukan polisi-polisi dan intervensi baru,” katanya ketika memberi ucapan aluan sebelum perasmian Dialog Pangkor 2017 di Amanjaya Convention Centre di sini pada Isnin.

UNDP turut menjalinkan kerjasama dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam penganjuran Dialog Pangkor 2017 yang berlangsung 11 – 12 September 2017.

f81406ed-caec-4d87-a6b6-6eafaee0a7e2Stefan berkata, Perak mempunyai kekuatan tersendiri kerana memiliki kepelbagaian kebudayaan dan rakyat yang mesra di samping warisan alam semula jadi.

“Melihat kepada indikator pembangunan, Perak menunjukkan pencapaian yang baik di dalam pelbagai dimensi, misalnya, kadar kemiskinan dapat dikurangkan daripada 46 peratus pada 1970 kepada 0.7 peratus tahun 2014,” ujarnya.

Beliau turut memuji penganjuran Temasya Idea Perak yang memberi fokus kepada inovasi di mana revolusi industri 4.0 akan memberi impak kepada cara kerja dan kehidupan.