BAGAN SERAI: Kerajaan tidak pernah mengabaikan rawatan kepada rakyat walaupun ketika ini lebih memberi tumpuan kepada kes-kes COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, setakat ini, hanya 15 peratus sahaja katil-katil di hospital diperuntukkan untuk kes COVID-19.

“Maknanya ada 85 peratus lagi katil untuk pesakit-pesakit lain, kita tak abaikan denggi, malaria, malah kalau ada JE pun, kita tak abaikan.

“Pesakit-pesakit lain dirawat dengan baik dan kalau ada kes yang banyak maka mereka akan dihantar ke hospital-hospital berdekatan,” katanya
ketika ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian agihan keuntungan Ladang Rakyat Daerah Kerian tahun 2020 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan ADUN Selinsing, Mohamad Noor Dawoo.

Menurut Noor Azmi, walaupun sebanyak 15 peratus katil diperuntukan untuk COVID-19, tetapi ia masih belum mencapai tahap tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian telah menaikkan keupayaan pemeriksaan ujian saringan COVID-19 di Sabah kepada 2,000 ujian sehari.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan tidak bercadang untuk menutup semua sekolah walaupun kes positif COVID-19 semakin meningkat.

Menurutnya, sekolah hanya akan ditutup sekiranya terdapat kes positif di sekolah tertentu.

Beliau berkata, jika terdapat kes di satu-satu kawasan, pengesanan secara aktif akan dilakukan di samping langkah lain seperti saringan kontak rapat dan proses nyah kuman.

“Sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat sebenarnya, penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu, tidak ada aktiviti beramai-ramai dan orang keluar masuk pun tak ada.

“Kalau mereka yang di asrama, memang tak boleh balik, jaditempat ni sebenarnya lebih selamat daripada komuniti luar,” ujarnya.