IPOH– Rumah pangsa Waller Court yang terbiar dan terbantut sekian lama bakal berubah wajah dengan kerja pembangunan semula oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) menerusi kerjasama agensi sedia ada.

Isu penyelenggaraan dan situasi Waller Court yang usang itu turut mendapat reaksi pelbagai pihak yang menuntut supaya kerja pembangunan semula dipercepatkan demi kesejahteraan bandar raya Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata setakat ini pihaknya menerima banyak cadangan serta pandangan berkaitan Waller Court.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak menjalankan kerja-kerja pengisian dan penyelenggaraan bagi unit-unit kosong, MBI sentiasa memastikan kebersihan sekitar Waller Court di mana kerja kutipan sampah dan longkang dijalankan.

“Tanggungjawab ini bukan terletak di bawah MBI semata-mata tetapi perlukan kerjasama dan penglibatan semua pihak,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Sementara itu, Adun Kepayang (DAP) Dr Ko Chung Sen ketika mencelah dalam sesi penggulungan mencadangkan agar diwujudkan rangka masa bagi memberikan gambaran sebenar kepada rakyat berkenaan gerak kerja pembangunan semula itu.

“Isu pembangunan semula ini sudah berlarutan lama, boleh kata hampir sepuluh tahun namun tiada sebarang pembaharuan yang dijalankan. Lebih baik jika diberikan rangka masa tentang pembangunan itu,” kata Chung Sen.

Dalam pada itu, Paul Yong berkata pihaknya akan mengkaji dan menimbang cadangan yang bersesuaian untuk menentukan situasi Waller Court.

“Pihak kami terima banyak pandangan antaranya Waller Court dikekalkan untuk dijadikan warisan, ada pula yang mahu ia dirobohkan dan dibina semula, kita kaji apa yang terbaik,” katanya.