ISTIMEWANYA Felda Lasah di Sungai Siput, bukan kerana hasil getah dan sawitnya semata-mata, bahkah keterbukaan penduduknya dalam menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang, penduduk nyata ‘sporting’ apabila membenarkan bilik gerakan tiga parti (BN, PKR dan PAS) dibuka berdekatan satu sama lain.

Namun, disebabkan jarak terlalu dekat itu, ada calon yang datang berkempen tersasul menyebut nama parti lawan untuk penyokongnya mengundi pada hari pengundian, Rabu depan.

Dalam ceramah PKR di kawasan itu hari ini, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tersasul menyuruh penyokongnya tidak mengundi pakatan pembangkang.

Ketika itu, beliau berucap sambil berdiri dengan pandangannya terarah kepada bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di sisi kiri, selain penyokong PKR di hadapannya.

Memperbetulkan semula kenyataan, pemimpin pembangkang itu kemudian berkata, kepenatan berkempen menyebabkan dia mudah tersasul.

“Kasihanlah saya, saya kena pergi kempen. Dulu masa 2013, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) di luar, saya tidak bersusah payah kempen macam ini.

“Sekarang, saya kena ambil alih sebab itu saya minta maaf tersasul-sasul,” katanya.

Sebelum itu, calon PKR DUN Lintang, Madhi Hassan turut tersasul dengan mengajak pengundinya memangkah PAS.

“Jangan pangkah yang sebelah ni (PAS) sebab kita tak tahu pendirian dia, perjuangan dia. Jadi, marilah kita pangkah ‘bulan’.

“Ops ‘sorry’, silap, silap. Pangkah mata, pangkah mata untuk kita bentuk kerajaan pada 10 Mei nanti,” katanya.

Kempen itu turut disertai calon PKR bagi Parlimen Sungai Siput, S Kesevan, namun calon DAP bagi DUN Jalong Loh Sze Yee, tidak hadir.

Pada sidang media, Dr Wan Azizah mempersoal tindakan PAS menarik diri daripada bertanding di DUN Rantau, sekali gus beri kemenangan kepada BN.

Beliau juga meragui niat PAS bertanding di kawasan kurang majoriti Melayu yang dipercayai hanya untuk pecah undi.

 

BERITA BERKENAAN : Mat Sabu Tak Kisah Selepas Ahli Amanah Pamer Perbualan Seksi