IPOH, 31 DIS: Pembedahan otak Pengurus Pasukan Futsal Perak, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli, baru-baru ini, boleh diibaratkan sebagai mati hidup semula.

Isterinya, Amirah Muhammad Amiruddin, 36, berkata, pembedahan itu terpaksa dilakukan terhadap Wan Fadzli Izam, 42, setelah suaminya diserang angin ahmar akibat tekanan darah tinggi.

Katanya, serangan itu menyebabkan suaminya lumpuh sebelah kiri badan dan memerlukan pembedahan.

Lebih menyedihkan, katanya, doktor memberitahu bahawa suaminya sudah tidak mempunyai harapan lagi untuk hidup.

“Selepas menjalani pembedahan, suami saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari.

“Pada ketika itu, dia tidak menunjukkan sebarang respons untuk kembali sedar malah doktor juga menasihatkan saya untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Amirah yang merupakan seorang surirumah berkata, sebaik sahaja menerima berita tersebut, dia hanya mampu berdoa dan berserah kepada takdir agar suaminya kembali sedar.

“Secara kebetulan, pada ketika itu, tarikh hari lahir saya semakin hampir dan saya berdoa agar dia dapat keluar dari hospital sebagai permintaan hari lahir saya.

“Alhamdulillah, berkat doa keluarga dan sahabat handai, suami saya dibenarkan keluar sehari selepas hari lahir saya iaitu pada 14 Disember dan ia merupakan hadiah hari lahir yang paling bermakna buat saya,” ujarnya.

Tambah Amirah, buat masa ini, dia hanya bergantung harap dengan bantuan daripada ahli keluarganya bagi membantunya menguruskan suami dan empat orang anaknya yang berusia antara empat sehingga 13 tahun.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Pasukan Bola Sepak Negeri Perak, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi melawat Wan Fadzli yang juga merupakan Exco Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) di rumahnya di Taman Meru Mutiara di sini, hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Syamsul dan beberapa ahli kelab turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada keluarga Wan Fadzli bagi membantu meringankan beban mereka.