KOTA KINABALU: Rakaman video tular yang memaparkan mayat seorang wanita diangkat keluar dari sebuah premis di Jalan Tugu, Kampung Air, di sini, dipercayai meninggal dunia akibat penyakit dihidapinya dan bukan disebabkan COVID-19.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, wanita yang dikenali sebagai Peggy Wong Bik Kee, 37, dikatakan menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati wanita itu tinggal sendirian di rumah sewa sejak empat tahun lalu.

Katanya, sebaik pintu bilik dibuka oleh pemilik rumah itu menggunakan kunci pendua, mangsa ditemui terbaring di atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia, pada jam 1.04 petang.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik HQEI untuk ujian COVID-19, sebelum proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau meminta orang ramai tidak menularkan video berkenaan dan berhenti membuat spekulasi sehingga pengesahan laporan perubatan hospital.