KUALA LUMPUR : Seorang wanita berstatus janda dan dua rakannya dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 28; Mohd Zulhiami Md Darus, 33, dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 25.

Abdul Halim ketika membaca penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurutnya, pembelaan ketiga-tiga tertuduh menerusi keterangan bersumpah dalam kandang saksi juga berbentuk rekaan dan tidak munasabah.

“Melihat situasi ini, keterangan ditampilkan saksi ketujuh pendakwaan iaitu seorang saksi mata, jelas menyatakan dia nampak tertuduh ketiga (Muhammad Rahmat) pukul kepala si mati dengan kayu dan pukulan itu kuat hingga menyebabkan kayu berkenaan patah.

“Sebelum si mati pengsan, saksi ketujuh ini nampak Siti Nor Asiah dan Muhammad Rahmat berbincang dan Siti Nor Asiah mencadangkan mayat dibungkus dengan tilam serta diikat dan membuangnya ke dalam sungai di Seksyen 24, Shah Alam.

“Muhammad Rahmat memberitahu saksi ketujuh ini, dia memukul si mati atas upah duit yang ditawarkan Siti Nor Asiah ,” katanya.

Abdul Halim berkata, tindakan ketiga-tiga tertuduh sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap si mati.

“Oleh itu, mahkamah mensabitkan ketiga-tiga tertuduh dan mereka mesti di gantung di leher sehingga mati,” katanya.

Mengikut pertuduhan Siti Nor Asiah dan Mohd Zulhiami dan didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat untuk membunuh Mohammad Fairul Haqiemie Mokhtar, 24, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi, pada 29 Ogos 2016.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3 Taman Sentosa, Klang.

Muhammad Rahmat pula didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqiemie pada 4 pagi di lokasi dan hari yang sama.

Mayat mangsa sehingga kini belum ditemui.