AMPANG: Seorang wanita kerdil yang mendakwa dia adalah anak Sultan Pahang dihukum penjara tiga tahun dua bulan oleh dua Mahkamah Majistret hari ini, atas 53 pertuduhan menipu seorang pakar bedah kosmetik membabitkan kerugian RM1.2 juta, (1,203,000) tiga tahun lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali pula menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan terhadap tertuduh yang juga bekas eksekutif syarikat insurans, Rohaida Yahlil, 41, selepas mengaku bersalah atas 34 pertuduhan menipu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh pula menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas dia mengaku salah atas 19 pertuduhan sama. Hukuman penjara bagi kedua-dua mahkamah berjalan serentak, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap 13 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, Rohaida didakwa atas 53 pertuduhan menipu Datuk Dr Abdul Jalil Jidon, 60, dengan memperdaya beliau untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah Yang Amat Mulia Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah.

Tertuduh menggunakan alasan untuk pembayaran cukai kepada Bank Negara bagi membolehkan wang masuk dari luar negara dan sebagai kegunaan peribadi Sultan Pahang.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang tunai melalui cek untuk dimasukkan ke akaun Maybank Khuzairiah Abdul Latiff, iaitu rakan tertuduh. Semua perbuatan itu dilakukan di Maybank Taman Melawati, di sini antara Jun 2013 dan April 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaimi Mahamad Amin memohon supaya hukuman berat diberikan berikutan dalam kes itu tertuduh berani menggunakan nama orang kenamaan untuk melakukan kesalahan serius itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan atas alasan dia mempunyai masalah kesihatan iaitu lelah dan baru menjalani pembedahan tulang belakang.

“Lagipun wang yang saya peroleh saya berikan kepada kawan-kawan supaya mereka berada di sisi saya,” katanya. Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku bersalah atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM2,841,690 juta. Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Mahkamah menetapkan 3 April depan untuk fakta kes dan hukuman.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/259916