MANJUNG : Seorang wanita maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Volkswagen Passat di Jalan Manjung-Changkat Jering, Seri Manjung, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa, Norlela Ahmad Tan, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian anggota badan.

Difahamkan, mangsa bersama empat lagi rakan yang berusia antara 24 dan 40 tahun sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang ayam di Kampung Acheh.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.29 pagi.

Menurutnya, kereta mangsa dalam perjalanan dari arah Manjung menghala ke Kampung Acheh, manakala Volkswagen Passat pula dari Sitiawan menghala Lumut.

“Kemalangan menyebabkan pemandu Perodua Kancil meninggal dunia, seorang penumpang belakang patah kaki kanan dan tiga lain cedera manakala Pemandu Volkswagen Passat pula tidak cedera,” katanya di sini.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.