BATU GAJAH : Seorang wanita maut akibat kecederaan parah setelah kepalanya digilis sebuah lori dalam kejadian di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi itu, pembonceng motosikal, Nor Fazila Din, 55, maut di tempat kejadian manakala suaminya, Ramli Dahalan, 57, cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian, lori dipandu lelaki berusia 37 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kampar ke Batu Gajah.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang suami isteri dari arah sama yang berada di bahagian kiri jalan telah masuk ke tengah jalan secara mengejut.

“Pemandu lori itu cuba mengelak daripada melanggar mangsa sehingga termasuk ke laluan bertentangan namun ekoran jarak yang dekat, kenderaan tersebut telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kiri motosikal mangsa.

“Pelanggaran tersebut mengakibatkan pembonceng motosikal itu maut di tempat kejadian kerana cedera parah setelah digilis di kepala,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat manakala suaminya yang juga parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Katanya, dalam kemalangan itu, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

Tempat duduk diubah, Najib tak hadir pertabalan