Sitiawan, 11 Jan : Wanita maut manakala lima cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Kayan, di sini, petang semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku pada 3.30 petang sebelum mangsa, Noratikah Syakira Azman, 22, menghembuskan nafas terakhir di wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) pada 9.17 malam tadi.

Turut cedera dalam kemalangan itu, suaminya, 29, dan anak lelaki mereka, 4, serta ibunya, 51, adik perempuan, 13, dan anak saudara lelaki, 10.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati suami mangsa yang memandu kereta Proton Saga itu disyaki mengantuk.

Katanya, kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan lalu melanggar pembahagi jalan.

“Pemandu kereta yang berkerja sebagai nelayan luka di muka dan kaki, manakala penumpang belakang iaitu ibu mentuanya, anak saudara dan adik ipar masing-masing cedera dan luka di muka, kaki dan kepala.

“Dua penumpang hadapan iaitu anak lelaki pemandu mengalami pendarahan dalam kepala, manakala wanita cedera di dada dan meninggal dunia di wad kecemasan HSM,” katanya.

Nor Omar berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSM bagi proses bedah siasat dan semua mangsa cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Harian Metro