LUMUT, 22 DIS – Seorang wanita yang kelihatan seperti menghadapi masalah kesihatan ditemui di kawasan Stesen Bas Lumut awal pagi semalam, dihantar pulang kepada ahli keluarganya di Batu Kurau petang tadi.

Wanita berusia 29 tahun itu sebelum itu dikatakan diganggu oleh beberapa remaja sebelum diselamatkan oleh seorang pekerja di salah sebuah kedai berhampiran di situ.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata wanita tersebut ditemui anggota Balai Polis Seri Manjung yang melakukan rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 3 pagi.

“Wanita itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya. Oleh sebab itu pihak polis membawanya ke Balai Polis Seri Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata, pihak polis kemudian membawa wanita tersebut ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Seri Manjung bagi mengesan identitinya.

Katanya, semakan JPN mendapati wanita tersebut menetap di Kampung Air Hitam, Batu Kurau di dalam daerah Larut, Matang dan Selama.

Menurut Nor Omar, pihak polis berjaya mengesan waris wanita tersebut dengan bantuan Balai Polis Batu Kurau.

“Anggota Polis Balai Seri Manjung kemudiannya menghantar wanita tersebut ke Balai Polis Batu Kurau untuk diserah kepada warisnya pada pukul 3 petang hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Omar berkata pihaknya tidak pasti bagaimana wanita itu datang dan berada di kawasan Lumut yang terletak sejauh lebih 130 kilometer dari tempat asal kediamannya.

Menurut beliau, semakan rekod juga mendapati wanita tersebut pernah dilaporkan hilang dari rumahnya. – K! ONLINE