Oleh: Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Seorang wanita Orang Asli maut dilanggar kenderaan pacuan empat roda (4X4) dalam satu kemalangan di Kilometer 15.8, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, berhampiran sebuah stesen minyak di Gopeng, hari ini.

Rakannya yang sedang mengandung pula cedera dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa, Wak Bita a/p Bah Nordin, 33, yang berasal dari kampung orang asli Ulu Jelintoh, Gopeng, maut di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dipercayai menunggang motosikal bersama seorang rakan, dalam perjalanan menghala ke Simpang Pulai dari Gopeng.

“Setibanya mangsa di lokasi kejadian, dia cuba melintasi sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Pemandu kenderaan 4X4 itu menekan brek tetapi tidak berjaya mengelak dari melanggar motosikal mangsa kerana ia terlalu dekat.

“Berikutan perlanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Kong Soon, pembonceng motosikal itu, seorang wanita mengandung pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.