IPOH: Golongan wanita perlu bersedia menghadapi perubahan corak kerja agar terus kekal relevan dalam sektor pekerjaan ketika berdepan Revolusi Perindustrian 4.0, kata Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, mereka juga mesti mengusai dunia digital bagi memastikan mereka kekal relevan dan terus memberi sumbangan kepada pembangunan negara terutama dalam bidang ekonomi.

Dalam pada itu, kata beliau, wanita perlu berani menembusi dan mencemburi sektor digital seiring dengan kemajuan teknologi pada masa ini.

“Wanita perlu menghadapi perubahan dalam cara bekerja seiring dengan perubahan digital dan ekosistem. Wanita kini dilihat telah bekerja secara dalam talian dan lebih (bekerja) dalam bidang kemahiran,” katanya ketika ditemui selepas menjadi panel sesi pleno mengenai wanita sempena Dialog Pangkor 2017 di sini, hari ini.

Sesi dialog yang berlangsung kira-kira dua jam itu dibarisi lima panel terdiri daripada Prof Tan Sri Dr Noor Azian Ghazali, Huong Dan Thi, Dr Angela Macdonald dan Regina Reyes.

Shahrizat berpendapat, naluri wanita boleh membawa mereka ke satu tahap yang tinggi yang mana era digital adalah era untuk wanita dan jika diberi peluang, menguasainya, mereka akan lakukannya dengan cemerlang.

Beliau percaya wanita perlu mempunyai pemantapan diri agar mereka mampu peroleh kewangan sendiri.

“Wanita menjalankan pelbagai tugas iaitu sebagai anak, isteri, ibu dan lain-lain dan mereka memerlukan eknonomi yang mantap, oleh itu untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, kita (kerajaan) juga perlu memperincikan keperluan wanita dan peluang yang perlu diberikan kepada mereka terutama dalam bidang ekonomi.

“Tanpa wanita juga negara tidak akan maju kerana golongan itu pada masa ini juga banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan pekerjaan yang dilakukannya mesti la pekerjaan yang mesra wanita,” ujarnya.

Mengenai Dialog Pangkor 2017, Shahrizat berpendapat, program itu memberi impak yang berkesan kepada pembangunan negara secara menyeluruh termasuk menjemput panel yang hebat termasuk angkasawan wanita dari Amerika Syarikat.