IPOH: Wanita PKR memerlukan model kepimpinan seperti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi memastikan sayap itu berperanan sebagai tunjang utama kepada parti dan negara.

Calon Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh berkata, Timbalan Perdana Menteri itu dilihat sebagai seorang yang berani, tegas dan bijaksana di dalam tindakannya, tanpa meninggalkan ciri-ciri kewanitaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, itulah model kepimpinan wanita Malaysia yang perlu dicontohi oleh Wanita PKR.

Menurut beliau, sejak 10 tahun lalu, tidak nampak sangat ciri-ciri itu di dalam Wanita PKR, sebaliknya ramai yang menjadi pak turut.

“Apapun ini harapan yang diletak oleh rakyat kepada kita semua dan Datuk Seri Dr Dr Wan Azizah telah menunjukkan contoh model tauladan yang sungguh cantik yang Wanita Keadilan mahukan untuk menjadi suri tauladan kepada kita semua,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog bersama pimpinan Wanita PKR di sini, hari ini.

Hadir sama calon Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail, calon Naib Ketua Wanita PKR, Datin Faizah Ariffin dan beberapa calon exco.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan wanita yang memerlukan di seluruh negara

Menurut beliau, buat masa ini sudah terdapat beberapa NGO yang berbuat demikian, contohnya Briged Wanita di Pulau Pinang dan Persatuan Wanita Berdaya (PWB) di Selangor.

Menurut beliau, sebagai permulaan, NGO itu dicadangkan di peringkat PKR sebelum dipanjangkan ke peringkat Pakatan Harapan.