PETALING JAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan pertambahan 1 kes baru jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), menjadikan jumlah kumulatif positif virus itu yang dilaporkan sehingga hari ini 17 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa terbaru melibatkan seorang wanita tempatan berumur 65 tahun yang merupakan ibu mertua kepada kes rakyat Malaysia yang dilaporkan pada 4 Feb 2020 yang lalu, iaitu kes ke-9.

“Beliau mempunyai beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan dan seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung serta pergerakan yang terhad.

“Beliau mempunyai kontak langsung dengan kes indeks (kes ke-9) semasa duduk semeja dalam beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama ahli keluarga pada 26, 27 dan 28 Jan 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, dari 29 Jan hingga 4 Feb, wanita berkenaan memaklumkan hanya berada di rumah, namun pada 5 Feb lalu, beliau mengadu kurang sihat dan mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya, tetapi tiada demam.

“Beliau seterusnya dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta. Sejurus selepas itu, beliau dibenarkan pulang ke rumah dengan temu janji susulan pada 7 Feb.

“Sebaik sahaja menantunya, iaitu kes indeks (kes ke-9) dikesan positif, beliau dijejaki pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Hasil siasatan turut mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu kini dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil dan sebarang aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel sudah diambil daripada beliau dan ahli keluarga yang lain. Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya dilaporkan positif pada 8 Feb 2020, manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif,” katanya.

Dengan pertambahan 1 kes baru ini, jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga hari ini adalah sebanyak 17 kes, iaitu 7 kes dalam kalangan kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI), 8 kes dalam kalangan kontak rapat dan 2 kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan dari China.

Daripada jumlah tersebut, 12 kes melibatkan warga China dan 5 rakyat Malaysia.