TANJUNG MALIM: Pergerakan Wanita UMNO turun awal membantu jentera parti membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini dengan pelancaran Program Ziarah Kasih Skuad Sayang.

Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad di Sungkai dekat sini hari ini, yang menjadi program pertama Wanita UMNO dalam mendekati pengundi.

Menurut Noraini, beliau dimaklumkan oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Aziz bahawa Skuad Sayang merupakan pasukan pertama yang turun padang di sini untuk membuat bancian sentimen dalam kalangan pengundi di DUN Slim.

“Untuk PRK Slim ini, skuad ini akan menggerakkan jentera masing-masing ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai persiapan awal untuk menghadapi PRK Slim. Jentera Wanita sentiasa digerakkan lebih awal untuk membantu dari segi gerak kerja dalam setiap PRK,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Ziarah Kasih Skuad Sayang untuk PRK Slim di Sungkai dekat sini hari ini. Hadir sama Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Menurut Noraini, pihaknya akan mematuhi segala pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mencegah wabak Covid-19.

“Gerak kerja dalam PRK Slim sudah tentu sedikit berbeza namun mempunyai matlamat sama iaitu untuk meraih sokongan daripada pengundi terhadap calon UMNO,” katanya.

Ditanya kemungkinan UMNO akan memilih wanita sebagai calon pada PRK Slim, Noraini berkata, pihaknya menyerahkan kepada pemimpinan parti untuk membuat keputusan.