KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga Bangladesh mendakwa disamun tiga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika menunggang motosikal berhampiran stesen bas di Taman Wahyu, Jalan Ipoh di sini, 18 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Ahmmed Faishal menunggang motosikal bersendirian dari Pasar Borong Selayang ke rumahnya di Jalan Tun Razak sebelum ditahan tiga individu beruniform dan memakai ves JPJ serta menunggang tiga motosikal jabatan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata tiga anggota JPJ terbabit pada mulanya melakukan pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati cukai jalan motosikal ditunggangnya sudah tamat tempoh.

“Suspek menyuruh mangsa membayar RM150 sebagai bayaran melepaskannya tetapi mangsa memberitahu dia tiada wang selain memberi alasan yang motosikal itu adalah milik rakannya.

“Mangsa kemudian minta kebenaran menelefon rakannya untuk meminta bantuan, bagaimanapun suspek meminta mangsa menyerahkan telefon bimbitnya kerana mahu menghubungi sendiri rakan mangsa itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek yang mengambil telefon bimbit mangsa kemudian menyuruh mangsa menunggu di tempat kejadian sebelum kesemua suspek beredar.

“Mangsa menunggu di tempat kejadian sehingga jam 3.30 petang, namun kesemua suspek tidak kembali.

“Menyedari ditipu, suspek membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai adalah anggota JPJ berdasarkan uniform, ves dan motosikal jabatan jenis Kawasaki Versys 650 yang digunakan dan dicam oleh mangsa menerusi contoh gambar yang ditunjukkan pegawai penyiasat,” katanya.

Munusamy berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu kerana tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya – berita harian