IPOH: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas 15 pertuduhan kerana terlibat dalam pengubahan wang haram hasil daripada aktiviti haram di Ipoh, sejak 2016 hingga 2019 lalu.

Tertuduh, Chan Wai Sun, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan
di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan akaun simpanan dan semasa milik sendiri serta akaun syarikat miliknya sebagai peralatan kesalahan berkaitan dengan pelakuan aktiviti haram
bermula 4 Januari 2016 hingga 27 Mei 2019.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Berhad dan Public Bank Berhad di sekitar Ipoh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 haribulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 28 Ogos depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan.