Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Niat seorang lelaki mahu mendekati dan cuba berjinak-jinak dengan gajah membawa padah apabila dia dikejar dan dipijak binatang liar tersebut.

Mangsa, M.Paramanazan, 69, tahun yang cedera parah dengan mengalami patah leher, tangan kiri, rusuk tulang kiri dan luka anggota badan akibat dipijak dan dihenyak mamalia tersebut dalam kejadian sekitar 4.30 petang semalam.

Semasa kejadian lelaki terbabit yang merupakan pemandu lori dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik telah berhenti di kilometer 19 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli berhampiran Tugu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa yang mengesahkan kejadian berkata mangsa bersama berusia 40-an menaiki lori tersebut sedang perjalanan dari Jeli ke Gerik.

“Menurut anak mangsa, apabila tiba di tempat kejadian, ayahnya bertindak menghentikan kenderaannya dan turun untuk melihat gajah yang berada di kawasan tersebut.

“Gajah tersebut tiba-tiba mengejar dan memijak mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Ismail, anak mangsa kemudiannya membawanya ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan lanjut.