LUMUT – Seorang lelaki warga emas kini hidup dalam kebimbangan selepas diugut bunuh dan akan dicederakan selepas enggan meminjamkan lagi wang kepada seorang lelaki, Isnin lalu.

Toh Chuan Thuan, 64, yang menetap di Pulau Pangkor berkata, dia menerima beberapa pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki mendakwa ahli sebuah parti politik dan kenalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis pada pukul 12.13 tengah hari, untuk meminjam wang RM100.

Chuan Thuan yang mengidap tumor otak dan tidak bekerja, kemudian mendepositkan RM50 sebanyak dua kali ke akaun bank atas nama sebuah syarikat.

Katanya, tidak lama kemudian lelaki itu menghantar gambar resit bank menunjukkan kononnya wang sebanyak RM350 telah didepositkan ke akaun banknya.

“Lelaki itu kemudian memberitahu yang dia terlebih bayar daripada jumlah sepatutnya dan meminta saya memulangkan lebihan RM250 iaitu masing-masing RM150 dan RM100 ke dua akaun bank berbeza,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka di Kampung Koh, dekat sini hari ini.

Chuan Thuan berkata, lelaki itu kemudian ingin meminjam RM200 lagi dan beliau menuruti kehendak individu tersebut.

Beliau bagaimanapun mulai sangsi apabila lelaki itu sekali lagi mahu meminjam RM200 sebelum membuat pemeriksaan baki akaun banknya dan mendapati tiada transaksi wang RM350 daripada individu itu kepadanya seperti didakwa.

Menyedari dirinya sudah diperdaya, Chuan Thuan enggan memasukkan wang seperti diminta mengakibatkan lelaki itu marah dan mengugutnya termasuk menghantar gambar keluarga mangsa untuk menakut-nakutkan lelaki warga emas itu.

Katanya, lelaki itu mendakwa anaknya dipukul disebabkan tindakan warga emas itu tidak mendepositkan wang seperti diminta selain mendakwa mangsa tidak mahu memulangkan wang miliknya sedangkan lelaki itu yang sebenarnya mahu meminjam wang.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pulau Pangkor kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, setakat ini pelaku kes bukan ‘scammer’ sebaliknya siasatan awal mempercayai individu itu dikenali pengadu dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.-K!ONLINE