TAIPING: Seorang lelaki warga emas hampir lemas di dalam tasik di Taman Tasik Taiping di sini, hari ini.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 70 ditemui keletihan ketika berenang di tasik.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan mengapa mangsa berenang di dalam tasik tersebut kerana ia dilarang pihak berkuasa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.13 pagi.

“Setibanya di lokasi, anggota melakukan kerja-kerja menyelamat dengan berenang kira-kira 10 meter dari tebing dan membawa mangsa ke tempat yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.