KUANTAN: Seorang warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM496,000 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam, kononnya dia terlibat dalam pengubahan wang haram sejak pertengahan bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 60 tahun itu mendakwa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai pos laju bagi membuat siasatan berhubung kiriman bungkusan atas nama mangsa.

“Kiriman itu dikatakan berkait dengan siasatan kes pengubahan wang haram menyebabkan panggilan itu perlu disambung kepada pegawai polis di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, yang kemudian mengarahkan supaya wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) mangsa dipindahkan ke akaun bank.

“Mangsa memindahkan wangnya dan selepas hampir seminggu, suspek yang menyamar polis sekali lagi menghubungi mangsa bagi meminta maklumat peribadi perbankan kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa hanya menyedari wang simpanannya berkurangan sebanyak RM496,000 selepas membuat semakan di cawangan bank di Bentong, kira-kira 170 kilometer dari sini, Isnin lepas.

Panik dengan kehilangan wang itu, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal menyebabkan dia membuat laporan polis di Balai Polis Karak, Bentong semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA