TAIPING, 1 JAN – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta ketika melakukan pusingan U di Kilometer 9 Jalan Kuala Sepetang-Taiping di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3.15 petang itu, mangsa, Mustaffa Sharif, 76, yang beralamat di Kampung Hujung Matang itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha SRX itu dalam perjalanan dari arah Simpang menuju ke Matang.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa secara tiba-tiba membuat pusingan U sebelum dia dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang lelaki di laluan bertentangan sebelum mangsa terseret beberapa meter.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Osman, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Taiping untuk di bedah siasat.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan penunggang motosikal membuat pusingan U secara mengejut di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut masih di jalankan dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-K! ONLINE