TAPAH: Seorang wanita warga emas maut selepas rumahnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang remaja berusia 13 tahun di Kampung Baharu Banir, Temoh, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 5.15 petang itu, mangsa, Lai Kwai Lan, 77, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sewaktu menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa sedang berehat di ruang tamu rumahnya.

“Kejadian berlaku apabila remaja tersebut sedang mengundur kereta, dia tertekan minyak menyebabkan kereta tersebut telah merempuh rumah berhadapan dan menyebabkan mangsa yang berada diruang tamu telah cedera parah.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan disahkan meninggal dunia pada pukul 2 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad

Tambah beliau kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati remaja tersebut menggunakan kereta tersebut sewaktu abangnya pergi ke kebun dan ibu bapanya berada dalam rumah sewaktu kejadian.

“Jarak antara kedua-dua buah rumah dianggarkan kira-kira 20 meter,” ujar beliau.