WANITA warga emas ditemui mati tertiarap dipercayai dicederakan penjenayah dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Seri Duyong, Melaka, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa C Shelliee, 67, ditemui tertiarap di atas katilnya dengan keadaan mulut berdarah.

Kejadian disedari saudara mara dan jiran hanya selepas menantu mangsa yang tinggal bersama wanita terbabit, menghubungi ibu saudaranya yang tinggal di taman perumahan sama.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.36 pagi dan setibanya di lokasi mendapati seorang wanita meninggal dunia di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan tidak menemukan sebarang kecederaan pada tubuh si mati.

“Berdasarkan siasatan awal di lokasi, kita percaya berlaku jenayah samun berkumpulan menggunakan senjata di rumah berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka, hari ini.

Afzanizar berkata, ketika kejadian, mangsa bersama menantu perempuan dan tiga cucu lelaki berada dalam rumah terbabit.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.

Sementara itu, adik mangsa C Karupayee, 55, berkata, dia bersama suami dan anak-anaknya segera ke rumah mangsa yang jaraknya kira-kira 100 meter, selepas menerima panggilan daripada menantu kakaknya.

“Sebaik tiba, saya terdengar menantu kakak saya menangis dan menjerit-jerit, lalu kami masuk ke dalam rumah mendapati kakak (mangsa) saya dalam keadaan tertiarap di katilnya. Saya memeriksa dan cuba mengejutkan kakak tapi tidak ada jawapan dan ketika itu darah keluar dari mulutnya,” kata Karupayee, ditemui di perkarangan rumah mangsa.

Karupayee berkata, menantu kakaknya memberitahu, lima lelaki memasuki rumah itu, menggunakan tuala menutup muka mereka dan hanya dapat melihat mata.

“Menantu kakak saya serahkan semua rantai, subang dan gelang emas pada badannya, manakala dalam bilik tidur kakak saya, berselerak dan almari pecah, mungkin disebabkan penyamun yang mencari barang kemas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, adik ipar mangsa yang dikenali sebagai Mogan, 54, berkata, proses bedah siasat hanya akan dilakukan esok namun menurutnya doktor ada memberitahu tulang bahagian muka patah dipercayai akibat hentakan atau pukulan – berita harian