LIMBANG: Seorang lelaki warga emas maut, manakala isterinya parah apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka terbabit dalam nahas jalan raya di Kilometer 22 Jalan Medamit, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kemalangan jam 12.20 tengah hari, pemandu kenderaan 4WD jenis Isuzu terbabit, Ramli Laboh, 60, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Isterinya, Poliana Garin Kundoi, 50, parah dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Limbang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata nahas dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa dirempuh sebuah lagi kenderaan 4WD jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki warga Brunei berusia 43 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu itu dalam perjalanan dari arah Limbang menuju ke negaranya sebelum tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh kenderaan mangsa dari arah bertentangan.

“Perlanggaran itu mengakibatkan kenderaan mangsa remuk teruk. Bagaimanapun, pemandu sebuah lagi kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian